DR Mahathir bersama Wan Azizah pada sidang media selepas Majlis Presiden Pakatan Harapan di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya, hari ini. FOTO Asyraf Hamzah.
Veena Babulal dan Mohd Iskandar Ibrahim
cnews@nstp.com.my


KEPEMIMPINAN Pakatan Harapan (PH) akan berbincang berhubung keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menamakan dirinya sebagai Menteri Pelajaran walaupun bertentangan dengan manifesto gabungan itu.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Salehuddin Ayub, berkata perkara itu akan dibincangkan bersama pimpinan tertinggi PH dalam tempoh terdekat.

“Saya akan membawa perkara ini ke peringkat tertinggi kepemimpinan PH. Seingat saya, manifesto yang kami setuju bersama sebelum ini membabitkan Perdana Menteri tidak boleh memegang portfolio kewangan.

“Saya akan semak semula manifesto PH. Kepemimpinan PH akan berbincang lebih lanjut mengenai perkara ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Salehuddin diminta mengulas laporan portal berita Malaysiakini yang menyebut mesyuarat Majlis Presiden PH, semalam, tidak membantah apabila Dr Mahathir memaklumkan beliau akan memegang jawatan Menteri Pelajaran.

Hari ini, Dr Mahathir menamakan dirinya sebagai Menteri Pelajaran, manakala Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang sebelum ini dinamakan Timbalan Perdana Menteri, diberikan portfolio Menteri Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan.

Pengumuman Dr Mahathir itu dikatakan bertentangan dengan manifesto PH sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu yang menyatakan Perdana Menteri tidak akan memegang jawatan menteri lain terutama Menteri Kewangan.

Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengakui tidak menyedari mengenai manifesto PH yang menjanjikan Perdana Menteri tidak boleh memegang portfolio lain dalam Kabinet.

“Saya akui, saya sendiri terkejut. Selain Perdana Menteri tidak boleh menjadi (FM) Menteri Kewangan, saya tidak sedar manifesto PH turut mencadangkan bahawa Perdana Menteri tidak boleh memegang sebarang portfolio lain,” katanya dalam akaun Twitter beliau malam ini.

Ketua Pemuda GERAKAN, Tan Keng Liang, pula mengingatkan Dr Mahathir mengenai janji dalam manifesto PH.

“Seingat saya, janji PH adalah Perdana Menteri tidak akan memegang sebarang peranan dalam kementerian lain. Itu termasuk Kementerian Pelajaran. Sekadar peringatan.

“Saya hanya ingin memastikan Tun Dr Mahathir tidak membuat kesilapan. Mungkin beliau terlepas pandang. Masih ada masa untuk berpatah balik sebelum mengangkat sumpah,” katanya menerusi akaun Twitter rasminya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 11:32 PM