MOHD Shafie ketika hadir di Majlis Berbuka Puasa bersama masyarakat Semporna di Masjid Ar-Rahman. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming
cnews@nstp.com.my


KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan berhubung writ saman yang difailkan pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman.

Hari ini, Musa melalui peguamnya memfailkan saman terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Mohd Shafie berkaitan isu perlembagaan yang membabitkan pelantikan jawatan Ketua Menteri.

Mohd Shafie berkata, beliau sedia maklum mengenai peraturan itu, namun katanya ada dokumen dan bukti terdahulu yang boleh dijadikan rujukan dalam menangani isu berkenaan.

"Peraturan memang ada, kita sedar dan tahu akan perkara ini. Saya akan bawa dokumen dan bukti terdahulu ketika zaman Tan Sri Pairin Kitingan mengangkat sumpah membentuk kerajaan (pada 1994).

"Ketika itu antara yang mengangkat sumpah termasuklah Datuk Yong Teck Lee, Tan Sri Bernard Dompok serta beberapa pemimpin tempatan lain.

"Bagaimanapun, akhirnya beliau (Pairin) bersikap 'gentlemen' selepas menyedari kehilangan sokongan majoriti ahli DUN selain menerima pandangan dan nasihat daripada TYT (Tuan Yang Terutama) ketika itu (Tun Said Keruak) sehingga membolehkan Tun Sakaran mengambil alih jawatan Ketua Menteri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama masyarakat Semporna di Masjid Ar-Rahman, Semporna, hari ini.

Shafie berkata, kemelut sama turut pernah berlaku di Perak sehingga memaksa Menteri Besar ketika itu (Datuk Seri Nizar Jamaluddin) kehilangan sokongan majoriti sekali gus membolehkan kerajaan BN membentuk kerajaan.

"Berdasarkan Perlembagaan Negeri Sabah, Artikel 7 jelas menyatakan apabila seseorang Ketua Menteri tidak memperolehi majoriti yang mencukupi dan tidak lagi mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), maka mana-mana Ketua Menteri terpaksa berundur selain membubarkan dewan," katanya.

Saman Musa yang difailkan menerusi firma guaman Messrs FT Ahmad & Co adalah untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau kekal sebagai Ketua Menteri yang sah mengikut peruntukan undang-undang.

Sementara itu, Mohd Shafie ketika mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertama beliau petang tadi, berkata, kerajaan negeri pimpinannya mahu mencapai sebuah pentadbiran yang bersih dan rapi dengan tumpuan kepada perbelanjaan awam yang lebih berkesan.

Beliau yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) menasihatkan semua menteri yang baharu dilantik agar mematuhi peraturan dan tidak melampaui perbelanjaan kerajaan.

"Tidak perlu ada perbelanjaan dana awam... rakyat perlu diutamakan seperti apa yang dikatakan dalam kempen WARISAN. Perbelanjaan tidak perlu harus dibendung.

"Kita mesti lebih rapi dan mantap, tetapi kita juga mesti melihat projek yang berpusatkan rakyat dan memberi manfaat kepada semua, terutama golongan miskin di pedalaman. Sudah terlalu lama mereka diabaikan dan keperluan mereka mesti diteliti dengan pantas," katanya dalam kenyataan di Kota Kinabalu.

Dalam mesyuarat itu, Shafie turut memberi taklimat kepada barisan Kabinet mengenai apa yang perlu dan tidak perlu, selain menasihatkan mereka agar mendapatkan taklimat daripada pegawai kementerian dan agensi masing-masing bagi memastikan semua menteri memahami peranan dan fungsi mereka dengan lebih baik.

Berita berkaitan:

Musa saman TYT, Mohd Shafie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 9:30 PM