YANG Di-pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas (empat kiri) dan isterinya Toh Puan Datin Seri Hajah Majimor Shariff (empat kanan) bergambar bersama dengan barisan Exco Kerajaan negeri Pulau Pinang di Majlis Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah, semalam. FOTO Mikail Ong
Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@nstp.com.my


KEPEMIMPINAN DAP Pulau Pinang digesa tidak bersikap ‘kiasu’ dalam menentukan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) negeri itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr Norlela Ariffin mendakwa barisan EXCO baharu tidak seimbang tanpa pelantikan wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Wakil rakyat daripada PKR itu berkata, sebelum ini, pemimpin PPBM juga ada meminta supaya dua ADUN mereka disenarai dalam barisan EXCO.

“Saya berharap Majlis Presiden boleh berbincang menentukan barisan EXCO dalam pentadbiran negeri yang diperintah Pakatan Harapan (PH) supaya lebih adil dan saksama.

“Berbanding Selangor, Johor, Negeri Sembilan, hanya barisan EXCO Pulau Pinang dan portfolio yang dipegang tidak seimbang dengan terlalu memberi kuasa kepada satu parti.

“Sedangkan 14 kerusi dimenangi PKR, manakala AMANAH dan PPBM masing-masing menang dua kerusi. Jumlah itu hampir sama dengan DAP yang memenangi 19 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14),” katanya.

Menurutnya, berdasarkan pecahan, kerusi Ketua Menteri, Timbalan Ketua Menteri (TKM) II dan enam kerusi EXCO diisi ADUN DAP, manakala AMANAH dan PPBM langsung tidak dilantik dalam barisan EXCO.

Katanya, PKR pula hanya memperoleh tiga kerusi termasuk dua kerusi EXCO dan satu kerusi TKM I walaupun memenangi 14 kerusi.

Norlela berkata, portfolio utama seperti Tebatan Banjir, Perumahan, Kerajaan Tempatan, Jalan, Utiliti, Sukan dan lain-lain masih sama seperti PRU-13 dan tidak dikongsi bersama.

“TKM 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga ADUN Pinang Tunggal sebagai contoh dihormati oleh pegawai kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan perunding bagi projek berimpak tinggi tebatan banjir, namun tidak memegang portfolio infra yang lebih utama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 9:13 PM