HASNAL Rezua Merican. FOTO arkib NSTP
Sarah Zulkifli
sarah@nstp.com.my


PEGUAM Datuk Hasnal Rezua Merican enggan mengulas kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencadangkan Sirul Azhar Umar dibawa pulang ke Malaysia untuk dibicarakan semula di mahkamah berhubung kes pembunuhan membabitkan wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu.

Hasnal yang mewakili Sirul bagi kes berkenaan, berkata, beliau tidak boleh memberikan sebarang komen ketika ini kerana kenyataan daripada Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dilaporkan akhbar Australia, The Australian mengenai Sirul, yang juga bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu tidak berapa jelas.

“Saya tidak boleh memberikan komen kerana kenyataan Anwar itu tidak berapa jelas,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, hari ini.

Bagaimanapun, Hasnal juga enggan mengulas lanjut dengan maksud ‘tidak berapa jelas’ itu.

Sementara itu, ketika diminta mengulas satu lagi laporan akhbar Guardian yang mendakwa pelawat dari Malaysia, termasuk seorang daripada Pemuda UMNO yang bertemu dengan Sirul dua minggu lalu di Australia untuk menyampaikan pesanan; ‘Jangan cakap apa-apa’, Hasnal menegaskan berkata, beliau tidak tahu siapakah yang dimaksudkan itu.

“Saya tidak tahu siapakah Pemuda UMNO yang dikatakan bertemu dengannya (Sirul),” katanya yang juga peguam kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut laporan AFP, desakan supaya Sirul dibicarakan semula itu dibuat Anwar selepas sabitan terhadapnya atas tuduhan meliwat diampunkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, semalam.

Anwar memberitahu The Australian, keputusan hakim terhadap perbicaraan Sirul sebelum ini adalah ‘terkompromi’ dan keengganan hakim memanggil saksi dilihat seperti mempersendakan undang-undang dan cara terbaik adalah dengan memberikan pertuduhan baharu dan membenarkan perbicaraan penuh terhadap kes itu.

Altantuya dikatakan mempunyai hubungan dengan Abdul Razak Baginda, rakan rapat Najib, yang dituduh mengatur sogokan untuk pembelian kapal selam Perancis pada 2002.

Seteru Najib mendakwa, Sirul dan seorang lagi rakan subahat, Azilah Hadri, kedua-duanya dari UTK yang berperanan melindungi Menteri, dipersalahkan dalam pembunuhan itu bagi menyembunyikan pembabitan ‘tuan’ mereka di peringkat tertinggi kerajaan.

Sirul sebelum ini mengancam untuk mendedahkan orang yang memberi arahan itu.

Mayat wanita Mongolia, Altantuyaa, 28, ditemui dalam keadaan mengerikan dengan cebisan daging daripada anggota badannya bertebaran di Hutan Simpan Puncak Alam, Shah Alam, Selangor berhampiran Empangan Tasik Subang.

Mangsa dipercayai diletupkan antara 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

Azilah dan Sirul ditahan kerana didakwa terbabit dengan kejadian dan kedua-dua mereka dibicarakan sebelum dijatuhi hukuman gantung sampai mati. Azilah kini dipenjarakan di Penjara Kajang, manakala Sirul melarikan diri ke Australia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 9:04 PM