KEADAAN kereta mangsa yang terbabas dan terbalik dalam kemalangan di Jalan Palong 9,10 dan 11, Jempol, hari ini. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap
news@nstp.com.my


DOKTOR maut apabila kereta dipandu terbabas di Jalan Palong Sembilan, 10 dan 11 di Jempol, 9.35 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, mangsa Azimuddin Ismail, 29, yang berasal dari Kajang, Selangor dalam perjalanan dari arah Keratong ke tempat kerjanya di Klinik Kesihatan Felda Palong.

Katanya, mangsa yang memandu Perodua Viva dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan.

“Siasatan mendapati mangsa gagal mengawal keretanya lalu berpusing beberapa kali dan terbalik di kanan jalan.

“Mangsa yang parah di kepala dihantar ke Hospital Jempol dengan ambulans sebelum meninggal dunia ketika menerima rawatan di unit kecemasan hospital berkenaan,” katanya.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, ketika kejadian permukaan jalan kering dan tidak sibuk.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1 ) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 8:56 PM