DR Ahmad Samsuri (kiri) mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai pada majlis Pengagihan Bubur Lambuk di Masjid Zainal Abidin, Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Rozainah Zakaria
Zarina Abdullah
cnews@nstp.com.my


SEMUA sekolah Tadika Kemas di Terengganu dibenarkan beroperasi seperti biasa tanpa perlu berpindah dari bangunan sedia ada sekarang.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya masih banyak perkara lain perlu difikirkan selain daripada perkara remeh temeh seperti kes bangunan diduduki oleh pihak Kemas dan sebagainya.

Beliau berkata, pihaknya sedang dalam perbincangan di peringkat pentadbiran mengenai sesuatu lebih penting serta memerlukan perhatian khusus oleh pihak kerajaan.

“Isu sekolah Tadika Kemas ini membabitkan pendidikan kanak-kanak dan biarlah ia diteruskan tanpa menimbulkan keresahan awam,” katanya kepada media selepas mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai di pekarangan Masjid Abidin, Kuala Terengganu, hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, 2,000 pek bubur lambuk disediakan oleh sekumpulan pekerja Masjid Abidin bagi diagihkan kepada orang ramai setiap hari bermula 3.30 petang selama 28 hari.

Beliau berkata, perkara itu adalah tradisi dilakukan di masjid berkenaan setiap tahun sejak lapan tahun lalu.

“Ia bukan sekadar pembahagian bubur lambuk, tetapi lebih kepada usaha mendekatkan masyarakat dengan pihak masjid,” katanya.

Sementara itu, hotel milik kerajaan negeri Duyong Marina & Resort Terengganu mengedar 2,000 bungkus bubur lambuk kepada pengguna jalan raya berhampiran Jambatan Sultan Mahmud.

Bubur itu disediakan secara bergotong-royong oleh 30 pekerja hotel dan aktiviti itu dilakukan kali keempat sejak diperkenalkan pada 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 6:56 PM