Siti A'isyah Sukaimi dan Suhaila Shahrul Annuar
cnews@nstp.com.my


“SAYA belum terima surat lagi,” itu reaksi bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berhubung nama beliau diumumkan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.

Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menggantikan Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang memohon menamatkan kontrak perkhidmatannya dengan SPRM, Isnin lalu dan melapor diri untuk bertugas di Pejabat Peguam Negara pada hari berikutnya.

Mohd Shukri berkata, beliau belum mengetahui tarikh untuk melapor diri ke SPRM susulan daripada pengumuman yang dibuat oleh Dr Mahathir.

“Saya akan panggil semua reporters (wartawan) hari saya lapor diri. Tarikh lapor diri belum tahu lagi. Saya belum terima surat lagi,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada NSTP, hari ini.

Beliau yang berkelulusan ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyertai Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang kini dikenali sebagai SPRM pada 1 September 1984 sebagai Pegawai Siasatan di Cawangan Siasatan Akaun, Ibu Pejabat BPR.

Mohd Shukri pernah menjadi Ketua Unit Siasatan di BPR Pulau Pinang dan Cawangan Tindakan Khas, Ibu Pejabat BPR serta BPR Kedah selain Pengarah BPR di Perlis, Kelantan dan Sabah.

Selain itu, beliau juga dilantik sebagai Pengarah Siasatan SPRM dengan Gred JUSA (Jawatan Utama Sektor Awam) C pada 1 September 2006.

Jawatan terakhir beliau di SPRM adalah sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM dengan Gred JUSA A pada 1 Januari 2010 hingga 31 Julai 2016.

Beliau kini Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sejak 1 Julai tahun lalu hingga sekarang.

Berita berkaitan

Shukri Abdull diumum KP SPRM baharu

Tunggu PM umum...[METROTV]

Dzulkifli tak boleh keluar negara?

Dzulkifli kembali ke AGC esok

Dzulkifli letak jawatan KP SPRM

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 6:41 PM