GAMBAR hiasan
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@nstp.com.my


HANYA kerana tidak memasak nasi, wanita cedera dipukul suami di rumah di Garden Avenue, Seremban 2, semalam.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, mangsa berusia 32 tahun sedang melayan lima anaknya termasuk bayi lelaki berusia tujuh bulan.

Sumber berkata, suami mangsa berusia 39 tahun memintanya memasak nasi namun wanita itu berleter dan menyindir lelaki itu.

“Kerana marah disindir, mangsa ditumbuk di pipi kanan dan kiri serta dibelasah oleh suaminya menyebabkan seluruh badannya lebam.

“Akibat tindakan suaminya, mangsa nekad keluar rumah dan meninggalkan semua anak bersama suaminya,” katanya.

Menurutnya, mangsa difahamkan berjalan sejauh lima kilometer menuju ke Plaza Tol Seremban kerana mahu pulang ke rumah ibu bapanya di Petaling Jaya, Selangor.

“Ketika di plaza tol berkenaan, mangsa ditumpangkan pengguna jalan raya pulang ke rumah ibu bapanya sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada 9.20 malam tadi,” katanya.

Sumber itu berkata, mangsa memberitahu tidak tahan dengan sikap panas baran suaminya dan mendakwa pernah dibelasah dengan wayar kabel elektrik sehingga pengsan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata siasatan sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 6:29 PM