AMARJIT Singh (tengah) sambil diperhatikan Timbalannya Superintendan R Sundralingam (kanan) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di IPD Selangor, Shah Alam, hari ini. FOTO Muhammad Sulaiman
Tharanya Arumugam
tharanya@nstp.com.my


POLIS Selangor menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dalam talian dan merampas sejumlah dadah dianggarkan bernilai RM45,520 dipercayai untuk pasaran tempatan, Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor Asisten Komisioner Amarjit Singh Cher Singh berkata, suspek yang juga suami isteri berusia 36 dan 37 tahun ditahan dalam serbuan pada 5.30 petang di rumah mereka di Setia Alam.

Menurutnya, serbuan itu dilakukan selepas pihak polis menerima maklumat mengenai kegiatan sindiket dadah terbabit.

Katanya, dadah berkenaan dijual melalui laman sosial Facebook dan jumlah bahan terlarang yang dirampas dipercayai boleh diambil oleh 39,450 orang.

“Pihak polis merampas dua blok (ketulan) dadah mampat dan daun kering (kanabis) seberat kira-kira 300 gram.

“Kami juga merampas sebuah bekas plastik, 24 botol plastik kecil, 97 picagari dan sebuah periuk mengandungi sejenis cecair atau minyak dipercayai kanabis.

“Beberapa bahan dan peralatan yang digunakan untuk memproses minyak kanabis termasuk empat bekas plastik mengandungi bahan kimia etanol turut dirampas,” katanya.

Amarjit berkata, turut dirampas ialah 400 bekas plastik kecil yang belum digunakan, 50 picagari kosong, beberapa kotak gelang tangan, sampul surat dan pelekat yang tertulis ‘The Real Cannabis’.

Menurutnya, selain itu, pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM3,590, kereta Proton Saga dan Proton Wira, serta menyita unit apartmen yang dibeli pada harga RM380,000.

Katanya, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mempromosi kanabis cecair itu melalui Facebook sejak dua tahun lalu.

“Mereka turut mengadakan promosi istimewa untuk Ramadan, iaitu pelanggan boleh beli dua dapat satu percuma dengan mendakwa produk itu mempunyai fungsi perubatan.

"Ini adalah antara taktik yang digunakan untuk mengelirukan dan menarik pelanggan sebelum produk dihantar secara pos atau kurier sebaik bayaran dibuat,” katanya.

Difahamkan, sebotol kecil ganja cair dijual pada harga RM140, manakala cecair pekat yang datang dalam picagari dijual pada harga RM170.

Katanya, kedua-dua suspek didapati positif dadah dan direman sehingga 22 Mei untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 6:26 PM