ANWAR berucap di Himpunan Merdeka Rakyat menyambut pembebasan beliau di Padang Timur, Petaling Jaya, malam ini. FOTO Mohd Shahril Badri Saali
Iskandar Ibrahim; Veena Babulal dan Mohd Nasaruddin Parzi
cnews@nstp.com.my


PENASIHAT Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu rakyat tidak terus mempersoalkan sokongan padu beliau terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam ucapan sulungnya selepas dibebaskan dari penjara, beliau mahu rakyat memberi sepenuh kepercayaan kepada Dr Mahathir dan barisan Kabinetnya untuk meneruskan agenda membangunkan negara.

“Saya kata kita sudah buat pilihan dan kita bagi ruang penuh kepada Dr Mahathir mentadbir negara. Menteri Kabinet harus diberi ruang untuk jalankan tugas dengan baik.

“Kalau nampak kekurangan kita tegur, kalau nampak mewah-mewah, kita terajang dia, tapi bukan Dr Mahathir, tapi yang lainlah,” katanya berucap di Himpunan Merdeka Rakyat di Padang Timur, Petaling Jaya, malam ini.

Hadir sama, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yasin, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu serta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Anwar berkata, sokongannya terhadap Dr Mahathir atas prinsip ukhuwah dan persaudaraan.

“Media sepanjang hari dia masih tanya apakah saudara sedia terima Dr Mahathir. Yang kamu sakit hati kami baik sebab apa, ada orang dulu masa kempen asyik marah apa la Anwar ini (mahu baik dengan Dr Mahathir).

“Kamu ini tidak faham ukhuwah dan silaturahim. Bila orang mahu baik dengan kita, kita baiklah, kalau kamu rompak, ambil duit 1MDB, jangan baik,” katanya.

Beliau menegaskan tidak akan sokong Dr Mahathir jika bekas Perdana Menteri keempat itu tidak bawa perubahan baik kepada negara.

“Saya sokong Dr Mahathir sebab dia dengan pasukannya ini komited untuk bawa perubahan ke arah kebaikan kepada negara,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa hak Melayu dan Bumiputera tidak diketepikan di bawah kerajaan baharu selain menasihatkan semua pihak tidak terikut dengan dakyah tidak betul berkenaan DAP.

“Saya kata FELDA, UiTM (Universiti Teknologi Mara) itu tidak akan tergugat, malah di bawah kita UiTM akan diangkat dengan baik tapi profesor kangkung tu tak bolehlah,” katanya.

Menyentuh rancangan sebaik dibebaskan, Anwar berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin dunia termasuk Presiden Turki, Reccep Tayyip Edrogan.

“Saya juga akan pergi satu dua kawasan di Malaysia ini. Permatang Pauh pasti saya akan pergi,” katanya.

  

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 12:29 AM