ORANG ramai menunaikan solat Tarawih di Himpunan Merdeka Rakya. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Veena Babulal; Mohd Iskandar Ibrahim dan Nasaruddin Parzi
cnews@nstp.com.my


RIBUAN penyokong berhimpun di Padang Timur, Petaling Jaya bagi mendengar ucapan pertama Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mendapat pengampunan penuh daripada Yang Di Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, hari ini.

Orang ramai mula berhimpun di padang berkenaan sejak 6 petang sebelum turut menunaikan solat Isyak dan Tarawih sementara menunggu ketibaan Anwar.

Malah tempat letak kenderaan berhampiran pusat beli belah berhampiran lokasi himpunan itu sesak dengan kenderaan penyokong selain peniaga mengambil peluang berniaga di situ.

Selan Anwar, himpunan itu disertai Timbalan Perdana Menteri yang dinamakan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Rayuan pengampunan penuh Anwar dibentangkan dan dipertimbangkan mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-51 yang berlangsung hari ini.

Menurut kenyataan rasmi Istana Negara, Sultan Muhammad V dengan dinasihatkan Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya telah berkenan rayuan pengampunan penuh Anwar dibenarkan dan dibebaskan serta-merta berkuat kuasa hari ini selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Anwar menjalani hukuman lima tahun penjara pada Februari 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah berhubung kes liwat.

Anwar yang dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh, dijadual dibebaskan pada 8 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 10:16 PM