BOT laju digunakan empat penjenayah ketika cuba melakukan rompakan ke atas bot nelayan di perairan Pulau Kerindingan, Semporna, hari ini. FOTO ihsan Maritim Malaysia
Abdul Rahemang Taiming
cnews@nstp.com.my


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan empat penjenayah disyaki merancang melakukan rompakan ke atas bot nelayan di perairan Pulau Kerindingan, Semporna, semalam.

Pengarah (Maritim Malaysia) Zon Maritim Semporna, Leftenan Komander Maritim Amiludin Yenggah, berkata pihaknya menerima laporan daripada nelayan terbabit pada 6.30 petang.

Beliau berkata, susulan laporan itu sepasukan anggota bersama sebuah bot ditugaskan ke lokasi dilaporkan untuk membuat siasatan dan pemantauan.

“Pemantauan selama hampir 10 jam itu membuahkan hasil apabila bot dinaiki empat suspek terbabit dikesan pada 3.15 pagi hari ini.

“Apabila cuba dihampiri, bot terbabit memecut laju dan enggan berhenti walaupun diarahkan oleh anggota kami.

“Pada masa sama, suspek dilihat membuang sesuatu ke dalam laut dipercayai peralatan dan senjata untuk merompak,” katanya menerusi kenyataan di Semporna, hari ini.

Amiludin berkata, sebaik tiba di kawasan perkampungan Air Tampi-Tampi, semua suspek terjun ke laut dan melarikan diri.

Beliau berkata, bot berkenaan dibawa ke jeti pelancong di Pekan Semporna untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 10:07 PM