ABANG Johari (tengah) mempengerusi Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako. -Foto NADIM BOKHARI
Adib Povera
bhnews@nstp.com.my


PARTI Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) selaku parti tulang belakang Barisan Nasional (BN) Sarawak sedang menilai semula kedudukannya sebagai parti komponen.

Presiden PBB, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata pihaknya akan berunding dengan kepemimpinan tertinggi tiga lagi rakan komponen membabitkan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) untuk menentukan sama ada kekal bersama atau meninggalkan BN.

“PBB komited bergerak ke hadapan sebagai satu barisan teguh dalam memperjuangkan sepenuhnya kepentingan rakyat Sarawak.

“PBB yang menjadi parti secara unik dan strategiknya adalah bebas akan kekal menjuarai berkenaan visi melindungi kepentingan Sarawak dalam ‘perikatan bersatu antara parti negeri’.

“Seramai 19 Ahli Parlimen dipilih dengan 13 daripadanya wakil PBB memberi jaminan menyuarakan kepentingan negeri di Parlimen. Mereka komited memastikan keperluan rakyat Sarawak disokong kerajaan (Pusat) sedia ada,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi PBB, di Jalan Bako, Petra Jaya, hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei lalu, PBB menang 13 kerusi, SUPP menang satu kerusi, PRS menang tiga kerusi dan PDP menang dua kerusi.

Secara keseluruhannya, BN Sarawak hilang enam kerusi berbanding 25 kerusi dikuasainya pada PRU13.

Sarawak dan Sabah sebelum PRU14 sering dilabelkan sebagai kubu kuat dan ‘deposit tetap’ BN, selain dilihat sebagai ‘kuasa penentu’ keputusan pilihan raya.

Sebelum ini, BN Sabah menerima tamparan hebat selepas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), UPKO (Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu) dan Parti Liberal Demokratik Sabah (LDP), bertindak keluar BN dan bersama dengan Parti WARISAN pimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal.

Mengulas lanjut, Abang Johari yang juga Ketua Menteri Sarawak berkata, tiada garis masa ditetapkan bagi perundingan dengan tiga lagi parti komponen untuk mencapai kata putus sama ada setia berjuang bersama BN.

“Saya baharu selesai mempengerusikan PBB (MKT). Tidak perlu tergesa-gesa. Biarkan semua parti bertenang dulu kerana kita baru habis pilihan raya,” katanya.

Ditanya sama ada PBB akan memainkan peranan sebagai parti mesra Pakatan Harapan (PH) bagi mendapatkan sokongan peruntukan, Abang Jo berkata, PH selaku Kerajaan Pusat perlu melunaskan hak Sarawak yang sedia dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 8:25 PM