BAHU salah seorang mangsa luka akibat ditetak dengan parang (gambar kecil) dalam kejadian di rumah kongsi Ladang Harus Abadi, Kinabatangan, Isnin lalu. FOTO ihsan polis
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@nstp.com.my


DUA wanita parah ditetak berulang kali dengan parang oleh seorang lelaki selepas mendakwa kononnya disihir salah seorang mangsa terbabit dalam kejadian di rumah kongsi di Ladang Harus Abadi, Kinabatangan, malam Isnin lalu.

Bunga Sahade, 65, cedera di belakang kepala, bahu, tangan kanan dan siku kiri serta mengalami tulang patah, ibu jari tangan kiri luka dan patah serta hujung jari kiri putus.

Manakala Murni Yusup, 43, pula cedera di bahagian belakang kepala, luka dan patah pergelangan tangan kiri menyebabkan kedua-duanya dirawat di Hospital Lahad Datu.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A Sahak Rahmat berkata, kejadian berlaku pada Isnin lalu dan polis menerima laporan pada keesokannya daripada pengurus Ladang Harus Abadi.

“Hasil siasatan mendapati suspek dan mangsa pertama (Bunga) tinggal bersama dalam sebuah rumah kongsi, tetapi berasingan bilik. Mereka tiada hubungan pertalian keluarga.

“Ketika kejadian, suspek dikatakan menyerang mangsa pertama ketika mencuci kuali di bahagian luar rumah manakala mangsa kedua (Murni) diserang ketika menutup jendela rumahnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, hasil laporan itu, pada 2.30 petang 24 April lalu, sepasukan polis menahan suspek warga Indonesia terbabit di lokasi kejadian dan merampas parang yang digunakan ketika menyerang kedua-dua mangsa.

“Ujian air kencing suspek berusia 30 tahun itu positif dadah dan soal siasat mendapati dia menyerang mangsa kerana mendakwa berhalusinasi kononnya disihir salah seorang mangsa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 April 2018 @ 9:18 PM