KEMALANGAN membabitkan dua Perodua Myvi di Jinjang Selatan, hari ini.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@nstp.com.my


KERETA Perodua Myvi ‘terbang’ sebelum menghempap sebuah lagi kereta model sama dalam kemalangan di Jinjang Selatan, Kuala Lumpur, hari ini.

Kejadian pada 3 petang itu mengakibatkan tiga individu cedera dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan kecemasan.

Ranger Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu (ITIS) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Zul-Atfi Abdul Wahid Amin berkata, kereta Perodua Myvi hilang kawalan sebelum merempuh penghadang jalan dan masuk ke laluan bertentangan.

“Kereta berkenaan kemudian menghempap sebuah lagi kereta model sama.

“Sekurang -kurangnya tiga individu cedera dan menerima rawatan awal sebelum dihantar ke hospital,” katanya ketika dihubungi.

Zul-Atfi berkata, tugas mengalihkan kenderaan berkenaan selesai sejam kemudian dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Beliau berkata, kemalangan itu mengakibatkan kesesakan di jalan berkenaan, namun berjaya dikawal sepenuhnya anggota polis trafik bertugas.

“Lalu lintas bergerak lancar selepas kedua-dua kenderaan terbabit dalam kemalangan itu dialihkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 9:11 PM