Abdul Hadi dan Dr Mahathir
Mohd Anwar Patho Rohman
wananwar@nstp.com.my

TUN Dr Mahathir Mohamad menggelar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai ‘ustaz kampung’ dan orang yang tidak berpengetahuan dalam bidang politik.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dibubarkan sementara turut ‘menasihatkan’ Naib Presiden Kesatuan Ulama Antarabangsa itu supaya kembali mendalami semula ilmu agama supaya lebih memahami Islam untuk berceramah dan tidak sewenang-wenangnya mengkafirkan orang Islam.

“Dia sepatutnya jangan masuk politik. Dia patut jadi ustaz mengajar di kampung yang mana dia cukup layak tapi bidang politik dia tak tau apa pun. Jauh sekali dalam bidang pentadbiran.

“Tengok apabila dapat Terengganu, apa jadi dengan Terengganu. Sebab itu saya nasihat Hadi balik ke sekolah ajar agama, agama yang betul bukan agama yang mengkafirkan orang.

“Kalau tak tau berkenaan agama Islam, saya boleh bawa dia rujuk al-Quran bahawa mengkafirkan orang Islam adalah perkara yang dilarang. Pergi belajar lagi fahaman Islam lebih mendalam dan balik sini. Kalau pandai kita boleh bagi jadi pensyarah di universiti Islam,” katanya pada sidang media di Galeri PPBM di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Abdul Hadi di Juru, Pulau Pinang semalam yang menasihatkan Perdana Menteri selama 22 tahun itu supaya berkhidmat sebagai doktor di Klinik 1Malaysia untuk berbakti kepada rakyat dan bukannya sibuk menjadi calon untuk pilihan raya.

Abdul Hadi turut berkata, tindak tanduk penasihat pakatan pembangkang itu yang aktif berpolitik ibarat sudah menjatuhkan tarafnya daripada seorang ‘jurulatih’ kepada ‘pemain bola sepak’.

Terdahulu, Dr Mahathir berkata pakatan pembangkang sudah mempunyai pelan kecemasan untuk memastikan calonnya akan tetap bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) seandainya calon mereka ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 7:55 PM