PEGUAM, Mohd Zubir (kanan) sedang berbincang dengan plaintif, Mohd Hairul Nizam Mohd, 29 (kiri) dan dua beradiknya yang hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu untuk keputusan mengenai tuntutan penipuan harta pusaka. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply
cnews@nstp.com.my


WANITA diberi tempoh sembilan hari bagi memberi jawapan ke atas tuntutan ganti rugi berjumlah RM720,000 oleh lima beradik terhadapnya, kerana didapati melakukan penipuan harta pusaka Allahyarham bapa mereka.

Keputusan itu dibuat di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini, selepas Hanisah Mohd, 48, selaku defendan memohon memberi sedikit masa kepadanya bagi mempertimbangkan semula tuntutan berkenaan.

Defendan sebelum ini didapati menjual enam lot tanah pusaka milik lima beradik itu tanpa pengetahuan dengan cara menipu tandatangan tiga daripada mereka ketika proses jual beli tanah di Kemasik, Kemaman.

Jabatan Kimia turut mengesahkan semua tandatangan yang dibuat pada setiap dokumen jualan tanah berkenaan adalah palsu.

Sebelum ini, adik defendan, Muhazian Mohd, 41, yang juga mewakili empat lagi adik beradik lain, Mohd Kamal yang sudah meninggal dunia; Mohd Zainuddin, 34; Mohd Hairul Nizam, 29 dan Nor Azahar, 51, selaku plaintif, memfailkan pernyataan tuntutan berjumlah RM720,000 menerusi Tetuan Mohd Zubir Embong @ Associates.

Pernyataan difailkan pada 17 Januari lalu di Mahkamah Tinggi di sini, yang mengandungi sembilan tuntutan itu mendapat persetujuan daripada Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz yang menghakimi tuntutan berkenaan.

Dalam tuntutan berkenaan, semua plaintif turut menamakan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian, selaku defendan kedua.

Mahkamah bersetuju dengan semua tuntutan dibuat antaranya membabitkan bayaran kerugian jualan tanah pusaka dan kos guaman semua plaintif.

Mahkamah menetapkan 25 April depan sebagai tarikh rekod penghakiman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 7:48 PM