BARISAN pengacara rancangan televisyen khas sempena kempen First to Deliver sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-14. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Veena Babulal dan Syalikha Sazili
cnews@nstp.com.my


MEDIA Prima Berhad (MPB) bakal menyiarkan beberapa siri rancangan khas menerusi kempen ‘First to Deliver’ menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Menerusi saluran MPB iaitu TV3, ntv7, 8TV dan TV9, program khas itu akan dibawa secara langsung bagi menganalisis dan mengupas pelbagai isu sepanjang tempoh berkempen dan hari pengundian.

Pengarang Urusan Kumpulan, Berita dan Hal Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen MPB Datuk Seri Mohd Ashraf Abdullah berkata, kempen First to Deliver adalah ikhtiar pihaknya dalam menyampaikan perkembangan terkini dan keputusan terpantas sepanjang tempoh PRU-14 berlangsung.

“Kempen ini menjadikan semua platform kami di rangkaian televisyen Media Prima Berhad sebagai medium perantara.

“Ini membolehkan kami menjadi sumber utama rakyat Malaysia mendapat informasi mengenai proses dan prosedur undian dijalankan tanpa perlu menukar sebarang saluran lain,” katanya pada pelancaran Kempen First to Deliver di Petaling Jaya, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Kumpulan MPB Tan Sri Ismee Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Television Networks (MPTN) Johan Ishak dan Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) Datuk Seri Abdul Jalil Hamid.

Bermula 28 April ini iaitu pada hari penamaan calon sehingga menjelang hari pengundian, saluran TV3 akan membawakan laporan pantas dan sahih menerusi program bual bicara Penamaan Calon, Mandat dan Terkini Khas.

Program Dakwat di Jari yang akan disiarkan di saluran TV9 selama 15 episod pula adalah platform bagi wanita menzahirkan pendapat dan buah fikiran mengenai demokrasi serta harapan mereka.

Sementara itu, saluran ntv7 juga mempunyai dua program yang akan bersiaran dalam tempoh kempen pilihan raya iaitu ‘View Point’ dan ‘News in Brief’.

Manakala, khusus buat penonton Cina, saluran 8TV akan menyiarkan rancangan ‘14th General Election Polling Results’ secara langsung dalam bahasa Mandarin bagi membawakan berita terkini selama dua minit.

MPB turut membawakan program khas buat golongan muda, khusus bagi mereka yang kali pertama mengundi menerusi program ‘Zoom In PRU-14’ di portal NX Digital.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 7:06 PM