ZAINI (tiga dari kanan) berbual dengan penerima bayaran SIP Perkeso 2018 selepas majlis penyampaian cek di Pejabat Perkeso Kelantan di Kota Bharu, hari ini. FOTO Fathil Asri
Mohamad Zulhairie Manzaidi
cnews@nstp.com.my


SEDIH dan terkilan. Demikian perasaan seorang pekerja kilang selepas khidmatnya selama 17 tahun di kilang elektronik di Bangi, Selangor dihentikan pada 31 Mac lalu.

Penerima bantuan interim Sistem Insuran Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Zaimah Yusof, 48, berkata, dia mengambil keputusan untuk pulang ke Kelantan selepas gagal memperoleh pekerjaan lain.

“Sebaik diberhentikan, saya buntu memikirkan masa depan dan tidak tahu di mana mahu mencari wang untuk menyara ibu dan bapa sudah uzur.

“Saya pernah berkahwin, tetapi berpisah beberapa tahun lalu dan tidak mempunyai anak, jadi hanya menyara ibu dan bapa.

“Mujurlah saya memperoleh bantuan interim SIP Perkeso yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian cek bayaran SIP Perkeso di pejabat Perkeso di Kota Bharu, hari ini.

Zaimah antara 57 penerima bantuan interim SIP Perkeso yang mendapat manfaat bantuan kewangan RM600 setiap orang bagi meringankan beban kehidupan selepas diberhentikan kerja.

Pengarah Perkeso Kelantan, Zaini Llatif berkata, sehingga 16 April, pihaknya menerima 243 permohonan SIP.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 138 permohonan sudah dibayar manakala 76 kes masih dalam tindakan.

“Kos sudah dibayar sebanyak RM82,800 dan kita terpaksa menolak 29 permohonan kerana tidak memenuhi syarat ditetapkan.

“Selain menerima bantuan kewangan, penerima akan menyertai Program Penempatan Semula Pekerjaan bagi membantu mencari pekerjaan sesuai dikendalikan secara bersama dengan JobsMalaysia dan agensi pekerjaan swasta JobStreet,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 6:04 PM