AKMARIAHTON Suboh, 45, menunjukkan gambar Nur Mahirah Syafie, 22, yang turut mengalami masalah mental hilang sejak 10 April lalu selepas dikatakan tidak kembali semula ke pusat pengajian al-Quran di Masjid Tanah ketika ditemui di Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) di Ayer Keroh. FOTO Noor Azurin Mohd Sharif
Noor Azurin Mohd Sharif
cnews@nstp.com.my


WANITA orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran dilaporkan hilang sejak 10 April lalu selepas dihantar ke pusat pengajian al-Quran di Masjid Tanah, Melaka.

Nur Mahirah Syafie, 22, turut mengalami masalah mental,

Ibu saudaranya, Akmariahton Suboh, 45, berkata, anak saudaranya dikatakan tidak kembali semula ke pusat pengajian al-Quran itu, sebelum dilaporkan hilang.

"Sebenarnya, dia baru saja empat hari di hantar ke pusat pengajian berkenaan dan guru agama di sana memaklumkan dia ada meminta kebenaran untuk ke kedai berhampiran, namun tidak kembali selepas itu.

"Difahamkan ketika Nur Mahirah hilang, dia memakai baju berlengan panjang berwarna putih kuning, berseluar biru dan memakai tudung berwarna kuning," katanya ketika ditemui di Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) di sini, hari ini.

Susulan kejadian itu, Akmariahton turut membuat laporan mengenai kehilangan Nur Mahirah di Balai Polis Masjid Tanah di sini.

Yang turut hadir, Pengarah Pembela BN, Amir Hamzah Aziz.

Akmariahton berkata, sejak kehilangan Nur Mahirah, dia tidak dapat tidur dan tiada selera makan kerana bimbang memikirkan keadaan anak saudaranya itu.

"Kedua-dua ibu bapanya sudah meninggal dunia sejak beberapa tahun lalu dan dia juga perlu bergantung kepada ubat yang perlu diambil setiap minggu.

"Kami sekeluarga sudah berikhtiar bermacam-macam cara, termasuk menyebarkan kehilangannya melalui Facebook, namun hingga sekarang masih tiada sebarang maklumat tepat mengenai lokasi sebenar dia di mana," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menjumpai Nur Mahirah diminta menghubungi Fatihah di talian 017-6433272 atau talian hotline Pembela BN 1300-22-2352.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 5:00 PM