MUHAMMAD Syarieza maut selepas kereta Honda Jazz dipandunya merempuh belakang lori diparkir di tepi jalan di Kampung Gaung, Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang, hari ini. FOTO Syaherah Mustafa
Syaherah Mustafa
cnews@nstp.com.my


LELAKI maut apabila kereta dipandunya merempuh belakang lori diparkir di tepi jalan di Kampung Gaung, Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang, Pasir Mas, pagi ini.

Dalam kejadian 10 pagi itu, mangsa, Mohammad Syarieza Rani, 21, yang memandu kereta Honda Jazz dari arah Pasir Mas ke Rantau Panjang meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah di kepala dan badan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan.

Saksi, Muhammad Safuan Mohd Nor, 26, berkata ketika kejadian dia sedang sarapan di kedai makan berdekatan bersama beberapa lagi pelanggan termasuk pemilik lori terbabit.

Katanya, secara tiba-tiba mereka dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dan pada awalnya ia disangka tayar lori pecah.

“Namun, kami terkejut apabila melihat ada kereta melanggar belakang lori sebelum berlari ke lokasi kejadian untuk menyelamatkan mangsa.

“Ramai cuba membantu namun sukar kerana bahagian depan kereta sudah terperosok di bawah lori sebelum salah seorang dari saksi menghubungi polis dan bomba.

“Ketika itu, mangsa sudah tidak sedarkan diri dengan darah dilihat keluar dari hidung dan telinga. Malah mangsa turut parah di bahagian kepalanya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan berkaitan kemalangan terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 4:56 PM