MUHAMMAD Zahari (tengah) berkata sesuatu kepada murid yang memakai kostum Superman pada pelancaran program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) di Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 3, Kota Bharu, hari ini. FOTO Syamsi Suhaimi
Siti Rohana Idris
cnews@nstp.com.my


KEMUNCULAN watak adiwira Superman dan Spiderman, selain Yaya dalam animasi Boboiboy yang menjadi gimik pelancaran program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) mengkagumkan 1,337 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 3, Kota Bharu, hari ini.

Lebih unik, tiga murid yang memakai kostum itu muncul dari replika komik berjudul World of Superheroes berukuran setinggi dua meter dibuat menggunakan papan lapis.

Penyelaras NILAM SK Kubang Kerian 3 Razniyanti Abdul Razak berkata, idea kreatif itu dicetuskan guru dan Ahli Jawatankuasa Pusat Sumber Sekolah (PSS) sekolah terbabit.

Katanya, gimik itu dibuat bagi menarik minat murid untuk membaca semua jenis bahan bacaan.

“Aktiviti membaca bukan sahaja membabitkan buku akademik, novel atau buku cerita, tapi komik juga boleh dibaca asalkan murid ada minat untuk membaca.

“Setiap tahun kami akan membuat pembaharuan daripada segi pelancaran program kerana pada tahun lalu bertema 'Books Come Alive' di mana murid dan guru memakai kostum watak dalam buku yang dibaca," katanya ketika ditemui.

Program dirasmikan Pengarah Pendidikan Kelantan Muhammad Zahari Othman.


SEBAHAGIAN murid membaca buku serentak selama 10 minit sempena program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) di Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 3, Kota Bharu, hari ini. FOTO Syamsi Suhaimi

Sempena pelancaran program NILAM, pelbagai buku diagihkan kepada 41 kelas di sekolah itu termasuk prasekolah dan kelas murid Disleksia.

Katanya, setiap kelas menerima 60 buku Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di mana akan ditukar setiap bulan bagi menggalakkan murid membaca.

“Di bawah PSS juga, kami melantik 10 murid sebagai Renjer Cilik yang terdiri di kalangan murid Tahun Tiga hingga Enam.

“Perlantikan mereka bagi mencari murid yang mempunyai sebarang bakat dan potensi dalam diri bukan hanya tertumpu kepada bidang akademik semata-mata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 4:31 PM