GAMBAR hiasan
Ruwaida Md Zain
cnews@nstp.com.my


POLIS Selangor menahan sembilan pelajar lelaki di sekolah menengah di Bukit Jelutong susulan kes tular video pelajar dipukul rakan sekelas.

Rakaman video itu dipercayai diambil pada satu sesi yang dikatakan sebagai 'tradisi' sambutan ulang tahun hari lahir.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, kesemua pelajar terbabit ditahan di hadapan sekolah berkenaan pada 11.30 pagi semalam.

"Kesemua pelajar yang ditangkap terdiri dari pelajar tingkatan lima dan berusia 17 tahun, bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai siasatan pada 4.45 petang semalam.

"Kertas siasatan akan dirujuk ke Pengarah Pendakwaan Negeri untuk arahan selanjutnya.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan.

Fadzil turut mengesahkan mangsa membuat laporan polis berhubung kes terbabit 9 malam, Ahad lalu.

Kira-kira 11 pagi pada 8 Februari lalu, mangsa, pelajar tingkatan lima di sekolah terbabit, dipukul dengan batang kayu penyapu dan disepak oleh sekumpulan rakan sekelas selepas dipaksa menyanyikan lagu Happy Birthday.

Kejadian yang berlaku dalam sebuah bilik kelas selepas tamat waktu rehat, dirakamkan seseorang sebelum rakaman video berdurasi 29 saat tersebar di media sosial.

NSTP difahamkan, sambutan sedemikian adalah 'tradisi' bagi segelintir pelajar di sekolah itu.

Berita berkaitan

'Tradisi birthday' konon

[UPDATE] Pelajar 'dipukul' buat laporan polis

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 3:51 PM