ANGGOTA penguatkuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri mengawasi penagih dadah yang ditahan dalam Operasi Perdana di sini. FOTO Nazdy Harun
Nazdy Harun
cnews@nstp.com.my


APAPUN helah yang dilakukan penagih dadah untuk melepaskan diri, anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) tidak akan terperangkap.

Ketua Pegawai AADK Kuala Terengganu, Hafiz Hassan berkata, pihaknya sudah lali dengan helah golongan itu yang semata-mata berniat meraih simpati supaya dibebaskan.

Terbaru katanya, dalam operasi dilakukan di Kuala Terengganu, berakhir hari ini, 38 penagih dadah ditahan dan terdapat beberapa orang yang ‘buat perangai’ untuk minta simpati.

“Ada yang kencing dan berak, ada yang buat-buat tidur serta tak kurang yang beritahu mereka sakit, semuanya helah untuk raih simpati.

“Tapi kami sudah biasa dengan helah begini dan mereka tak mampu perdaya kami,” katanya yang memberitahu Operasi Perdana itu diadakan tiga hari sejak Ahad lalu.

Dalam pada itu, seorang penagih yang ditahan dikenali Mazlan, 37, berkata, dia sengaja membuang air kecil dan besar selepas ditahan penguat kuasa dengan niat mahu melengah-lengahkan mereka.

“Tak dapat lepaskan diri, saya guna kaedah ini supaya dapat lengahkan masa mereka (penguat kuasa AADK),” katanya yang ujian saringan dilakukan dapati positif dadah.

Seorang lagi penagih dikenali Mohd, 24, berkata, dia sengaja mematikan diri kerana tidak mahu memberikan kerjasama kepada penguat kuasa yang menahannya.

Katanya, ia juga tanda protes walaupun sedar dia akan tetap ditahan serta disiasat mengikut undang-undang sedia ada.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 3:40 PM