GAMBAR hiasan
Mahazura Abd Malik

MAHKAMAH Sesyen Batu Pahat, semalam, membenarkan tuntutan bil terkurang caj Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjumlah RM101,889.55 terhadap pemilik kilang, Gan Kok Sim kerana pengusikan pepasangan meter TNB yang berfungsi merekodkan penggunaan elektrik di kilangnya.

Hakim Amran Jantan membenarkan tuntutan TNB selaku plaintif terhadap defendan dengan kos mengikut skala dari tarikh penghakiman.

Tuntutan yang dibuat itu adalah selaras dengan peruntukan Seksyen 38 (3) dan (5) Akta Bekalan Elektrik 1990.

Dalam penghakiman itu, TNB berjaya membuktikan berlaku pengusikan pada pemasangan meter di kilang kitar semula milik defendan yang beralamat di Nombor 9, Jalan Budi 9, Taman Industri Wawasan, Batu Pahat, Johor.

Pemeriksaan TNB mendapati beberapa pengusikan berlaku antaranya sil penutup meter rivet diusik, sil terminal meter tiada dan pelekat keselamatan TNB ditampal semula selain skru link voltan pada fasa kuning dalam meter ditanggalkan.

Sepanjang perbicaraan, TNB diwakili peguam Mohammad Zaki Abdul Shukor dari Tetuan Othman Hashim & Co yang mengemukakan writ saman terhadap pengguna TNB itu pada 14 Mei tahun lalu.

Defendan pula diwakili peguam B H Ang dari Tetuan Ang & Co.

TNB memanggil enam saksi manakala defendan mengemukakan seorang saksi untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan berlangsung.

Perbicaraan penuh terhadap kes berkenaan diadakan selama tiga hari pada 4 dan 5 Disember 2017 serta 22 Februari lalu.

Mahkamah memutuskan kes berkenaan berpihak kepada plaintif kerana TNB berjaya membuktikan jenis pengusikan itu pada meter kilang defendan hingga mengakibatkan kerugian hasil kepada TNB bagi tempoh tiga tahun sejak 31 Julai 2008 hingga 16 Ogos 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 3:22 PM