MOHD Sofian, 8. FOTO Mohd Hasbi Sidek
Mohd Hasbi Sidek
mohd.hasbi@nstp.com.my


MASA depan seorang kanak-kanak mungkin kelam selepas dia tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan kewarganegaraan sejak dilahirkan pada 2010.

Memburukkan lagi keadaan, ibu kandung kanak-kanak berkenaan yang juga wanita warga Indonesia menghilangkan diri selepas melahirkan kanak-kanak berkenaan di Taman Segar, Cheras, lapan tahun lalu.

Roslee Ahmad, 44, bapa angkat kepada Mohd Sofian, 8, kini buntu memikirkan masa depan kanak-kanak itu kerana selain tidak dapat bersekolah, Sofian juga tidak mempunyai sebarang kewarganegaraan.

Menceritakan kembali kejadian lapan tahun lalu, Roslee berkata, dia dan isteri mengenali ibu kandung Sofian dengan nama Sri Indri yang berasal dari Lombok, Indonesia, dan bekerja sebagai pembantu rumah.

"Selepas mengetahui Sri Indri mengandung, majikannya memberhentikannya dan kami menumpangkan Sri Indri di rumah kami di PPR Taman Rasa Sayang, dekat sini atas dasar simpati. Kami menghantarnya bekerja di kedai makan berdekatan Taman Segar.

"Ketika mahu bersalin, Sri Indri yang tidak mempunyai sebarang dokumen dihantar ke bidan kampung berhampiran Taman Segar dan kelahiran anaknya tidak didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)," katanya ketika ditemui di kediamannya di PPR Taman Rasa Sayang.

Roslee yang tidak tahu membaca berkata, selang beberapa hari, Sri Indri keluar dari rumah meninggalkan anaknya tanpa memaklumkan perkara itu kepada dia serta isteri dan tidak pulang sehingga sekarang.

"Pada mula dia menghilangkan diri, kami cuba menghubungi Sri Indri, namun dia dipercayai menutup telefon bimbitnya. Ibu kandung Sofian membawa semua barang, rekod pemeriksaan kandungan dan pengenalan diri lain.

"Atas dasar perikemanusiaan, saya menjaga Sofian dan pernah berfikir mahu menyerahkannya kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun dihalang isteri kerana tidak sampai hati.

"Lama-kelamaan Sofian makin membesar dalam keadaan tidak mempunyai sebarang dokumen atau kewarganegaraan. Saya mula berfikir mengenai masa depannya kerana tidak dapat bersekolah dan mungkin dianggap sebagai pendatang asing," katanya.

Menurutnya, dia cuba meminta bantuan daripada JKM dan JPN, bagaimanapun, agensi berkenaan meminta beberapa dokumen, bagi membantu dan mendapatkan sokongan bahawa Sofian dilahirkan di negara ini.

"Saya berharap sangat pihak JKM atau JPN dapat membantu kami. Kepada ibu kandung Sofian, jika dia membaca laporan berita ini, harap dapat pulang untuk membantu kami," katanya dalam nada sedih sambil mengalirkan air mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 3:18 PM