Farah Suhaidah Othman
cnews@nstp.com.my


POLIS menahan tiga lelaki dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah dan merampas pelbagai jenis bahan larangan itu bernilai RM127,681 dalam tiga serbuan di Ipoh dan Batu Gajah bermula Jumaat hingga Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak Asisten Komisioner V R Ravi Chandran berkata, pihaknya menahan lelaki, 55, susulan penemuan sembilan peket plastik dadah dipercayai heroin seberat 3.8 kilogram (kg) bernilai RM116,340 di sebuah rumah kedai di Pusing, Batu Gajah pada jam 10.40 malam Jumaat lalu.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek bekerja sebagai peniaga pasar malam dan saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Dalam serbuan kedua pada 11.30 malam hari berikutnya (Sabtu), pasukan JSJN dan dibantu oleh Unit Peronda Polis (MPV) menahan Proton Saga di Taman Desa Aman.

“Hasil pemeriksaan dalam kereta menemui 80 peket plastik dipercayai dadah jenis serbuk ekstasi seberat 821 gram sebelum polis menahan lelaki berusia 32 tahun yang memandu kenderaan berkenaan.

“Saringan ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh, hari ini.

Menurutnya, dalam serbuan ketiga di rumah kedai di Canning Estate, Ipoh pada 1 pagi kelmarin, pihak polis menahan lelaki, 41, dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan terhadap suspek menemui 30 keping aluminium yang keseluruhannya mengandungi 300 pil Eramin 5 dianggarkan bernilai RM4,500.

“Turut disita kereta Proton Iswara milik suspek bernilai RM3,000 manakala saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ketamin serta mempunyai dua rekod jenayah membabitkan dadah,” katanya.

Menurutnya, nilai rampasan dadah bagi ketiga-tiga kes berjumlah RM127,681 dan semua suspek direman tujuh hari hingga Sabtu ini bagi siasatan lanjut.

Katanya, siasatan bagi ketiga-tiga kes dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 3:08 PM
RAVI Chandran (dua kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dalam tiga serbuan di Ipoh dan Batu Gajah pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, hari ini. FOTO/VIDEO Effendy Rashid