Amran Yahya
news@nstp.com.my


JENAZAH veteran UMNO Tan Sri Napsiah Omar dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jawa di Kuala Pilah, pada 12.30 tengah hari tadi.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham tiba di surau Tuanku Muhriz di kampung berkenaan pada 10.10 pagi untuk disembahyangkan oleh kira-kira 300 jemaah sebelum diiringi ke tanah perkuburan bagi memberi penghormatan terakhir.

Antara yang hadir, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Seri Mat Ali Hasan, bekas Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Ahli Parlimen Kuala Pilah Datuk Seri Hasan Malek.

Napsiah, 74, meninggal dunia akibat barah hati di rumah anaknya di Ampang Jaya, Selangor pada 6.10 petang semalam.

Allahyarham adalah bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Sosial pada 1990 bergiat aktif dalam dunia politik sejak 1972 serta bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-75 pada Sabtu ini.

Menceburi bidang politik bermula di Kuala Pilah, Allahyarham juga pernah menyandang jawatan Ahli Parlimen Kuala Pilah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah.

Sementara itu, Pengerusi Parlimen Barisan Nasional (BN) Kuala Pilah Datuk Ismail Lasim berkata, pemergian bekas Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita UMNO berkenaan adalah kehilangan besar buat parti khususnya di Kuala Pilah.

“Kami menerima berita yang mengejutkan ini dengan penuh sedih dan beliau amat disegani oleh barisan kepimpinan UMNO, malah jasa dan pengorbanan membangkitkan UMNO suatu ketika dahulu pasti dikenang sampai bila-bila.

“Ketokohan beliau dan komitmen kepada parti turut diberi pengiktirafan apabila dikurniakan Anugerah Melayu Terbilang 2017 sebagai penghargaan terhadap jasanya dalam perjuangan parti dan bangsa Melayu secara keseluruhan ketika sambutan ulang tahun ke-71 UMNO di Stadium Nasional Bukit Jalil,” katanya.

Allahyarham meninggalkan empat anak dan seorang cucu.

Berita berkaitan

Napsiah Omar meninggal dunia

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 2:16 PM
MOHD Rizal Abdul Aziz menyiram air di pusara ibunya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jawa, Kuala Pilah, hari ini. FOTO/VIDEO Iqmal Haqim Rosman