ANGGOTA polis buat serbuan di sebuah premis yang beroperasi lebih masa serta tidak memiliki lesen sah di tingkat 2, Bundusan Plaza, di Penampang. FOTO Ihsan PDRM
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@nstp.com.my


TINDAKAN premis yang beroperasi lebih masa selain tidak memiliki lesen sah di tingkat 2, Bundusan Plaza, Penampang, digempur polis, kelmarin.

Serbuan pada 2.20 pagi oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah itu, turut menahan pemilik premis dan empat pekerja pusat hiburan berkenaan.

Polis turut merampas beberapa barang elektronik dan wang tunai RM520.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata, serbuan diketuai Inspektor Hasryman Osman dilakukan susulan maklumat berhubung premis berkenaan yang disyaki beroperasi melebihi masa ditetapkan.

"Pemeriksaan lanjut juga mendapati premis itu tidak mempunyai lesen yang sah. Polis seterusnya menahan lima pekerja terdiri daripada tiga lelaki termasuk pemilik premis dan dua wanita," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, semua tangkapan berusia 22 hingga 47 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Ordinan Hiburan Awam 1958," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 12:35 PM