KEADAAN stor di kedai makan di Nilai, yang terbakar, hari ini. FOTO Ihsan Bomba
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@nstp.com.my

SEORANG pemilik kedai makan dan tukang masaknya yang mengandung tujuh bulan melecur selepas tong gas meletup di premis itu di Nilai, hari ini.

Dalam kejadian jam 4.46 petang, Tuan Mat Tuan Dollah, 41, dan Nor Akmal Alim, 23, sedang memasak nasi dan menyediakan keperluan lain di dapur premis sebelum berlakunya letupan itu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Mohd Syazwan Saidy berkata, seramai 18 pegawai dan anggota termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan.

Menurutnya, kejadian letupan itu turut mengakibatkan stor di belakang premis terbakar.

“Berdasarkan keterangan isteri pemilik, ketika kejadian, dia berada di hadapan kedai bersama dua anaknya, sebelum terdengar letupan kuat. Dia kemudian pergi ke dapur untuk melakukan pemeriksaan.

“Ketika tiba, dia melihat suami dan tukang masak mengalihkan tong gas yang terbakar ke luar kedai kerana bimbang kedai disambar api.

“Namun, sebaik tong gas dialihkan, berlaku percikan api dan ia menyambar tempat penyimpanan barang,” katanya, hari ini.

Akibat letupan itu, Mohd Syazwan berkata, Tuan Mat melecur di belakang badan, tangan dan kaki, manakala tukang masaknya melecur di bahagian muka.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban, untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 10:05 PM