MANGSA ditemui mati dengan kesan jerutan pada leher dalam bilik utama rumah di Taman Permai, Ipoh, dipercayai disamun dua suspek, hari ini. FOTO Farah Suhaidah Othman
Farah Suhaidah Othman
cnews@nstp.com.my


SURIRUMAH ditemui mati dalam bilik utama rumah keluarganya dipercayai dibunuh dalam kejadian samun di Taman Permai, Ipoh, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman, berkata kejadian berlaku pada 1.45 tengah hari ketika mangsa, T Iswari, 34, berada di rumah itu bersama bapa mentuanya yang mengalami masalah pendengaran.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian, bapa mentuanya berada di bilik berasingan dan mangsa dipercayai disamun dua lelaki yang melarikan barangan kemas miliknya termasuk rantai dan anting-anting dianggarkan bernilai antara RM2,000 dan RM3,000.

“Kejadian hanya disedari dua jam kemudian apabila adik ipar perempuan mangsa pulang ke rumah dan mendapati mangsa terbaring dalam bilik berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati leher mangsa mempunyai kesan cedera dipercayai dijerut menggunakan tali nilon,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Yahya berkata, pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian mendapati dua lelaki berusia antara 20 hingga 30 tahun masuk ke rumah berkenaan pada 1.45 tengah hari dan keluar 10 minit kemudian.

Beliau berkata, polis sudah mengenal pasti kedua-dua suspek dan percaya suspek mempunyai talian persaudaraan dengan mangsa.

Menurutnya, polis melancarkan operasi bagi menjejaki suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, sepupu mangsa, M Krishnama, 40, berkata dia tidak menyangka ajal sepupunya berakhir dalam keadaan begitu.

Katanya, kali terakhir dia bertemu mendiang dalam satu upacara kematian salah seorang ahli keluarga mereka, minggu lalu.

“Dalam rumah, dia tolong jaga bapanya dan bapa mentuanya. Dia rajin membantu orang lain jika ada kesusahan.

“Saya terkejut apabila ahli keluarga memaklumkan kejadian menimpanya petang tadi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 9:11 PM