Teng menunjukkan manifesto pakatan pembangkang semasa sidang media di Ibu Pejabat Gerakan Pulau Pinang. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Audrey Dermawan
audreymd@nstp.com.my

KETUA Menteri, Lim Guan Eng dicabar menafikan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohammad bahawa pembangkang hanya mencari populariti apabila berjanji mahu menghapuskan tol dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) mereka.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow berkata, adalah sesuatu yang pelik apabila Lim sehingga kini masih berdiam dalam isu berkenaan.

Dr Mahathir dalam temuramah bersama akhbar Straits Times Singapura yang diterbitkan pada 25 Mac lalu, dipetik berkata:

“Ada ketika, saya merasakan kita mungkin tidak dapat menunaikan janji kita. Parti kami, rakan pakatan kami mereka suka memberi benda kepada orang ramai.

“Saya sudah beritahu mereka ini tidak boleh dilakukan. Kamu mahu membuang semua tol dan membuatkannya semua percuma. Saya jelaskan, kita perlu menyelenggara jalan. Kita perlu bina banyak lagi jalan.

“Dari mana kita akan dapat dana bagi penyelenggaraan ini? Tetapi mereka mahu populariti, disebabkan itu mereka membuat janji.”

Mengulas lanjut, Teng berkata, Lim seharusnya menafikan perkara itu sekiranya kenyataan berkaitan dikeluarkan Dr Mahathir.

“Semalam, Lim meminta saya tidak menipu dalam janji berkaitan penghapusan tol secara berperingkat di negeri ini.

“Saya ingin tekankan, dalam muka surat 28 Buku Harapan, mereka berjanji lebih besar apabila mahu menghapuskan semua tol.

“Adakah Lim tidak membaca manifesto mereka sendiri? Dia perlu membaca manifesto sendiri terlebih dahulu sebelum menuduh orang lain menipu,” katanya ketika ditemui di Pejabat Gerakan Pulau Pinang di Georgetown, hari ini.

Isu menghapuskan tol timbul susulan janji pembangkang mahu melakukannya jika menang pilihan raya kali ini, namun Dr Mahathir tidak bersetuju dan mengatakannya sebagai hanya cuba meraih populariti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika lawatannya ke Pulau Pinang minggu lalu, mengumukan BN akan menghapuskan bayaran tol motosikal Jambatan Pulau Pinang, jika menang di negeri itu.

Dalam reaksinya, kerajaan negeri mengumumkan akan menghapuskan semua tol di Jambatan Pulau Pinang, jika berjaya menawan Putrajaya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 8:54 PM