BOMBA memadam sisa kebakaran. FOTO Ihsan Bomba
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@nstp.com.my


SEBUAH Proton Wira terbakar di bahagian enjin dipercayai disambar petir ketika hujan lebat di Peringgit Pantai, di Melaka, hari ini.

Kejadian kira-kira jam 5 petang itu turut menyebabkan penduduk berdekatan cemas disebabkan bunyi yang kuat.

Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, bunyi dentuman yang kuat di luar rumahnya berlaku secara tiba-tiba ketika hujan lebat.

“Saya sangat terkejut dan pelik dengan bunyi itu, keluar untuk melihat apa yang berlaku.

“Kemudian saya nampak, kereta milik seorang penduduk yang diletakkan di bawah pokok, terbakar di bahagian enjin (depan).

“Kereta itu sudah diletakkan di situ sejak malam tadi dan terdapat kesan berlubang pada permukaan bonet,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Timbalan Penguasa Bomba Kamarulzaman Mohd Din berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.08 petang.

Beliau berkata, sebuah jentera dengan kekuatan lapan anggota ke lokasi.

“Kebakaran hanya membabitkan bahagian enjin kereta sahaja dan ia musnah sepenuhnya.

“Anggota mengambil masa 30 minit untuk memadamkan kebakaran itu. Punca sebenar kebakaran masih lagi dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 8:48 PM