Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@cnews.nstp.com.my


DUA pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat laporan polis apabila menerima peluru hidup dan nota amaran berbaur ugutan yang diletakkan dalam peti surat di rumah mereka dalam kejadian pada semalam dan hari ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi berkata, beliau mengesahkan pegawai berkenaan bertugas di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dan memegang gred Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) C.

Beliau berkata, kedua-dua pegawai berkenaan membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Selangor.

“Kami memandang serius perbuatan individu yang cuba mengugut pegawai kanan SPRM berkenaan.

“Kami menggesa pihak polis supaya menyiasat kes itu dan mengenalpasti individu yang berbuat demikian supaya tindakan sewajarnya boleh diambil mengikut lunas undang-undang,” katanya ketika dihubungi di Putrajaya, hari ini.

Azam berkata, beliau percaya perbuatan itu berikutan beberapa kes berprofil tinggi disiasat SPRM sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata, SPRM tidak akan sama sekali tunduk kepada ugutan sedemikian dan akan terus melaksanakan tugas diamanahkan tanpa rasa gentar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 8:06 PM