M Hifzuddin Ikhsan
hufzuddin@nstp.com.my

RAKYAT Pulau Pinang perlu memikirkan masa hadapan mereka sekiranya terus memilih pembangkang yang tidak mampu menjanjikan mereka apa-apa, walaupun selepas 10 tahun memerintah negeri itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan negeri yang diterajui DAP hanya membawa kesusahan apabila rakyat Pulau Pinang terpaksa berhadapan masalah banjir setiap tahun selain dibebankan dengan surcaj air yang naik empat kali.

Kata beliau, kerajaan negeri yang sama juga sudah meluluskan 39 projek lereng bukit bagi tempoh 2008 hingga 2017 berbanding kerajaan negeri terdahulu yang hanya meluluskan empat projek sahaja.

“Saya ingin jelaskan bahawa Pulau Pinang tidak pernah terabai kerana dalam lima tahun Kerajaan Pusat sudah menyalurkan pelbagai projek bernilai RM4 bilion khusus kepada rakyat.

“Kita juga sedia memansuhkan tol bagi laluan motosikal Jambatan Pulau Pinang demi kebajikan rakyat sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya merampas negeri ini pada pilihan raya akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Balik Pulau Bersama Perdana Menteri di Balik Pulau, semalam.

Majlis itu turut dihadiri Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman; Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya bersama kira-kira 10,000 penduduk Balik Pulau.

Pada majlis itu juga, Perdana Menteri melancarkan 12 projek Kementerian Kesihatan bernilai RM1.63 bilion antaranya membabitkan naik taraf Hospital Pulau Pinang (HPP), pembinaan Kolej Jururawat Masyarakat Kepala Batas, naik taraf Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan naik taraf Hospital Balik Pulau (HBP).


Najib (dua dari kiri) merasmikan Pelancaran 12 Projek Kementerian Kesihatan pada Majlis Perhimpunan Bersama Rakyat. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal

Najib berkata, BN mempunyai keupayaan melaksanakan segala janji dan ia dibuktikan apabila 99.4 peratus janji pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) berjaya ditunaikan.

“Ini berbeza dengan pembangkang di Pulau Pinang apabila sehingga kini gagal menunaikan 51 janji, walaupun sudah membuat janji itu sejak mentadbir negeri ini.

“Disebabkan itu, rakyat Pulau Pinang perlu memikirkan masa hadapan mereka, adakah terus memilih pembangkang ataupun memberi BN peluang melaksanakan apa yang kita janjikan dalam manifesto PRU-14,” katanya yang turut meluluskan pembinaan jejambat motosikal di Kampung Seronok, Bayan Lepas bernilai RM10.5 juta.

Dalam Manifesto PRU-14, BN berjanji membina 65,000 rumah mampu milik khusus kepada penduduk Pulau Pinang yang terbeban dengan isu perumahan yang semakin meningkat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 April 2018 @ 7:14 PM