Abdul Hadi menyerahkan kepada parti menentukan kerusi yang bakal ditandingi. FOTO Ghazali Kori
Helmy Abd Rahman
helmy_rahman@nstp.com.my

PAS akan mengumumkan nama calon bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon pembuangan undi.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu juga berkemungkinan mempertaruhkan lebih daripada 130 calon untuk bertanding di kerusi parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), bergantung kepada permintaan daripada parti gagasannya.

"Kita sudah buat persediaan awal, semua calon juga sudah bersedia dan nama mereka pun sudah diluluskan Majlis Syura Ulama.

"Paling kurang kita akan bertanding 130 kerusi kecuali ada permintaan di saat akhir daripada sahabat PAS dan NGO (badan bukan kerajaan)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media bagi mengulas pengumuman pembubaran Parlimen di kediamannya di Kampung Rusila di Marang, hari ini.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding di kerusi Parlimen dan DUN yang disandangnya kini, Abdul Hadi berkata, perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada parti.

"Saya ikut arahan parti (PAS), di mana pun bertanding saya serah kepada parti," katanya.

Mengulas pengumuman pembubaran sementara pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), Abdul Hadi berkata, beliau pasti perkara itu tidak akan berlaku sekiranya pucuk pimpinan parti berkenaan memenuhi syarat ditetapkan.

"Saya tak tahu sama ada mereka (PPBM) sengaja atau tidak untuk penuhi syarat bagi membolehkan parti itu didaftarkan kerana pimpinan mereka pasti tahu perkara itu," katanya.

Semalam, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membubarkan sementara pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Pembubaran sementara itu adalah dibawah Seksyen 14 (5) Akta Pertubuhan 1966 akibat tidak memenuhi syarat.

Dalam pada itu, Abdul Hadi mengingatkan parti yang bertanding pada PRU-14 supaya tidak membuat salah laku dan memastikan negara dalam keadaan sejahtera.

"Walaupun kita mempunyai ideologi politik berbeza, sangat penting untuk kita kekalkan keamanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 April 2018 @ 5:00 PM