Dr Mahathir tetap menyalahkan pihak lain walaupun banyak yang tidak kena dengan PPBM.
Fahmy Azril Rosli dan Farhana Syed Nokman
cnews@nstp.com.my

MENGAKU gagal mematuhi pelbagai peraturan dan perlembagaan parti sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadikan kerajaan sebagai ‘kambing hitam’ berikutan pembubaran sementara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) hari ini.

Sebelum ini, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengaku parti itu tidak dapat memenuhi dua daripada sembilan perkara dituntut ROS iaitu mengemukakan laporan berkaitan perjalanan mesyuarat peringkat cawangan dan bahagiannya.

Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula mengesahkan parti pembangkang itu gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan kerana struktur organisasinya di peringkat akar umbi, masih tidak dapat diselesaikan sehingga kini.

Malah Dr Mahathir selaku Pengerusi PPBM, mengaku parti terbabit tidak mempunyai ahli peringkat cawangan selain bahagian parti dengan jumlah yang kecil.

Walaupun mengaku pelbagai masalah menyelubungi PPBM, namun Dr Mahathir masih menuding jari punca pembubaran parti itu kepada kerajaan dan ROS.

“Kesannya bukan itu sahaja, malah Pakatan Harapan sebagai satu pakatan juga tidak dapat didaftarkan kerana dalam kalangan anggotanya ada parti yang tidak sah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Forum Perniagaan dan Ekonomi Nasional anjuran Minorities Right Action Party (MIRA) di Dewan Sivik di Petaling Jaya hari ini.

Pada sidang media petang tadi, ROS mengeluarkan perintah pembubaran sementara terhadap PPBM berdasarkan notis mengikut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966, berkuat kuasa hari ini.

Ketua Pengarah ROS, Surayati Ibrahim, berkata susulan perintah itu, PPBM diberi tempoh 30 hari untuk menghantar semua dokumen diperlukan dan jika ada rayuan dan ditolak, PPBM akan dibatalkan pendaftarannya.

Beliau berkata, PPBM juga tidak boleh menggunakan nama dan logo parti sepanjang tempoh perintah pembubaran sementara itu serta tidak dibenarkan melaksanakan sebarang aktiviti berkaitan parti.

ROS mendapati PPBM gagal menyerahkan sepenuhnya segala butir maklumat dan dokumen yang diminta sebagaimana notis yang dikeluarkan mengikut Seksyen 14(2) akta sama pada 28 Februari lalu.

“Berdasarkan Seksyen 14(6) Akta Pertubuhan 1966, sekiranya PPBM dalam tempoh tidak lebih 30 hari dari tarikh perintah pembubaran sementara ini dikeluarkan, menyerahkan butir maklumat dan dokumen seperti diperintahkan, ROS boleh membatalkan perintah pembubaran sementara berkenaan.

“Mengikut Seksyen 14 (7) akta sama, selepas tamat tempoh 30 hari itu, sekiranya ada rayuan dan selepas dari tarikh jika rayuan itu ditolak, maka Perintah Pembubaran Sementara ini akan menjadi mutlak dan PPBM dibatalkan pendaftarannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 8:37 PM