PEMANDANGAN Taman Rekreasi 99 Wonderland Park yang dihiasi dengan pelbagai lampu dan tarikan untuk pengunjung di Tasik Sri Murni. FOTO Aizuddin Saad
Hidir Reduan dan Siti Nur Mas Erah Amran
cnews@nstp.com.my


PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak merasmikan Taman Rekreasi 99 Wonderland Park di Tasik Sri Murni, Selayang, mercu tanda rekreasi yang unik dan baharu di ibu kota, hari ini.

Pada majlis perasmian yang dihadiri lebih 10,000 orang itu, Perdana Menteri turut melawat taman rekreasi berkeluasan 9.2 hektar yang dinaik taraf dengan kos RM18 juta.

Taman rekreasi itu dibuka secara percuma kepada warga negara Malaysia selama sebulan sehingga 13 April ini.

Antara tarikan di taman rekreasi berkenaan adalah taman burung kasawari dan rusa, rumah arnab, Sky Fountain, Magical Bridge dan T-Rex Ring.

Hadir sama, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Loga Bala Mohan dan Pengerusi Kumpulan JL99, Datuk Seri BK Lee.

Taman Rekreasi 99 Wonderland Park dibuka bermula dari 6 petang hingga 9.30 malam pada Isnin hingga Khamis dan 6 petang hingga 10 malam (Jumaat, Sabtu, Ahad dan cuti umum).


NAJIB merasmikan Taman Rekreasi 99 Wonderland Park, Tasik Sri Murni. FOTO Asyraf Hamzah

Sementara itu, Lee dalam kenyataan berkata, pelaksanaan projek seperti ini adalah salah satu contoh di mana kerajaan sentiasa prihatin terhadap rakyat Malaysia.

“Kumpulan JL99 akan terus memberi sokongan dan kerjasama kepada kerajaan untuk melaksanakan projek seperti ini untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat di sekitar kawasan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 11:36 PM