SHAHRIZAL membuat persediaan bagi membolehkannya berbasikal ke Piala Dunia 2018 di Russia, tahun depan. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli
cnews@nstp.com.my


ANAK kelahiran Tanjung Tokong, Georgetown menyimpan hasrat untuk berbasikal ke Russia bagi menyaksikan perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018 pada Jun dan Julai depan.

Jurulatih bola sepak Persatuan Belia Wira Tanjung, Shahrizal Ahmad, 31, berkata, dia akan merentasi hampir 30 negara menerusi kayuhan itu nanti.

Menurutnya, dia sudah berkayuh ke tiga negara secara solo sejak dua tahun lalu bagi menguji stamina dan kekuatan diri ketika berbasikal menempuh perjalanan jauh.

Katanya, ia berikutan banyak aspek perlu diambil kira terutama peralatan dan kelengkapan basikal serta keselamatan selain perlu mengkaji laluan.

"Selain menguji stamina, banyak pengalaman itu saya jadikan panduan terutama mengenai undang-undang berbasikal dan meletakkan basikal di negara orang.

"Kayuhan ke Piala Dunia 2018 nanti diharap dapat membawa semangat 'Malaysia Boleh' selain menjadi inspirasi kepada anak muda di masa depan dan saya masih menanti sekiranya ada pihak sudi menaja kayuhan ini," katanya.

Shahrizal berkata, selain Semenanjung Malaysia, dia sudah ke Australia, Indonesia dan Singapura dengan tajaan daripada Petronas di Tanjung Bendahara, Alor Setar, Kedah dan Sheikh Brothers Industri (SBI) Pelabuhan Klang, Selangor.

Beliau berkata, untuk ke Piala Dunia 2018 nanti, kayuhannya dijangka merentasi Thailand, Myanmar, Bhutan, Bangladesh, Nepal, Pakistan, Uzbezkistan, Belarus dan Jerman.

Katanya, penjelajahan diberi nama 'Kembara Musafir' itu antara lainnya bagi menziarahi dan bertemu dengan masyarakat Muslim sambil membawa mesej keamanan dari Malaysia.

"Kos untuk seorang kira-kira RM10,000 bagi menampung keperluan sepanjang berada di negara terbabit.

"Jika ada peminat berbasikal mahu turut serta dialu-alukan dan boleh menghubungi saya di talian 017-5238069 atau di laman Facebook, Jose Rizal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 9:34 PM