MANISAH (berdiri dalam kereta) diarak bersama suaminya dengan kereta BMW sambil diiringi lambaian perpisahan pelajar dan guru ketika meninggalkan pekarangan sekolah persaraannya di Nibong Tebal. FOTO Muhammad Shalaby Shahbuddin
Muhammad Shalaby Shahbuddin
cnews@nstp.com.my


“SETIAP pagi, dia akan berdiri di hadapan pintu pagar menyambut kedatangan selain memastikan keselamatan pelajarnya terjamin," kata Pengerusi Kelab Guru dan Staf (KGS), Siti Fatimah Jamaludin, 31, terhadap sikap murni dan prihatin Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong, Nibong Tebal, Manisah Ahmad, 58, yang bersara, kelmarin.

Siti Fatimah berkata, walaupun Manisah dikenali sebagai seorang yang tegas, sikap penyayang jelas terpancar apabila setiap 7 pagi, dia akan mengalu-alukan kedatangan semua pelajarnya di hadapan pintu pagar utama sekolah.

Dia berkata, sikap mulia ditonjolkan itu bukan sahaja menggambarkan kasih sayangnya, malah mencerminkan seorang pemimpin bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan setiap pelajarnya dalam menimba ilmu.

"Suasana awal pagi yang gelap dan kesesakan lalu lintas di hadapan sekolah membuatkan dia begitu bimbang akan keselamatan pelajarnya hingga perlu 'turun padang'.

"Malah taglinenya iaitu 'Tepati Masa Setiap Masa (On Time Every Time)' sentiasa 'bermain di dalam fikiran' pelajar dan guru hingga banyak membawa perubahan di sekolah ini selain turut mengukir sejarah apabila dia menjadi pengetua pertama bersara sejak sekolah ini ditubuhkan pada 1998," katanya pada Majlis Sanjungan Budi, Kilauan Bakti sempena persaraan Manisah.

Siti Fatimah berkata, majlis persaraan terbabit mendapat kerjasama guru, pelajar, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta kakitangan sekolah yang dihiasi acara sumbangan hadiah daripada setiap kelas, persembahan murid dan guru, tayangan video kenangan pengetua dan beberapa kejutan menarik termasuk menjemput tetamu istimewa iaitu suami Manisah, Mohamad Zaidi Abdullah, 56.

Manisah diarak bersama Mohamad Zaidi menggunakan kereta BMW sambil diiringi lambaian perpisahan daripada 690 pelajar dan 60 guru ketika meninggalkan pekarangan sekolah berkenaan.

Sementara itu, Manisah berkata, dia begitu terharu atas segala persiapan dirancang semua pihak bagi memastikan semuanya berjalan dengan lancar.

Beliau berkata, sepanjang hampir tujuh tahun berkhidmat sebagai pengetua, SMK Seri Nibong diiktiraf sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK), Anugerah Seri Asrama Terbilang (ASAT) (Band 1 Peringkat Kebangsaan) pada 2015 dan 2016 selain Naib Johan dalam Anugerah Surau IMMARAH Sekolah - Sekolah (ASISS) peringkat kebangsaan pada 2017.

"Saya hanya mampu berpesan agar kecemerlangan sekolah ini akan dapat diteruskan lagi berikutan memiliki guru dan pelajar yang hebat walaupun bertukar kepemimpinan.

"Perancangan saya selepas ini adalah memulakan perniagaan sendiri bersama suami bagi mengisi masa terluang memandangkan tiga anak saya semuanya sudah meningkat dewasa dan sudah berkerjaya," katanya yang berkhidmat sebagai guru dan pengetua selama hampir 34 tahun di empat sekolah menengah selain pernah memegang jawatan pegawai Sains dan Matematik di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Seberang Perai Selatan (SPS).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 8:57 PM