ABU Zarin sudah sedar dan dirawat di HOSHAS, Temerloh selepas dipatuk ular tedung, Isnin lalu. FOTO Nazirul Roselan
Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman
cnews@nstp.com.my


“KETIKA kejadian saya dalam kereta dan melihat suami (Abu Zarin Hussin) bermain dengan ular tedung di luar sebelum dipatuk.

"Saya terus bergegas keluar mendapatkannya dan ketika itu dia masih sedar...boleh berjalan serta menyimpan ular tedung berkenaan dalam guni," kata Nur Afiqah Mohd Salim ketika menceritakan detik cemas suaminya dipatuk ular, Isnin lalu, sehingga menyebabkannya kini kritikal.

Terdahulu sebelum kejadian, Nur Afiqah, 30, berkata dia bersama suaminya berusia 33 tahun sedang makan sebelum menerima panggilan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Karak yang memaklumkan mengenai penemuan ular tedung di Bentong.

"Dia mengajak saya pergi sekali ke lokasi berkenaan....sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai anggota bomba yang perlu berkhidmat pada bila-bila masa dan dia memang gemar bermain dengan haiwan berbisa berkenaan.

“Namun, kali ini saya tergamam apabila melihat sendiri ketika dia dipatuk. Beberapa anggota bomba di balai berkenaan kemudian membawanya ke Hospital Bentong untuk mendapatkan rawatan dan dia tidak sedar ketika dibawa ke Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh untuk rawatan seterusnya.

"Doktor yang merawatnya memberi vaksin dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HOSHAS," katanya ketika ditemui di Temerloh, hari ini.

Nur Afiqah yang bekerja sebagai Guru Taman Bimbingan kanak-kanak (TABIKA), berkata suaminya itu sudah menunjukkan perkembangan positif dan sedar sejak jam 12.30 tengah hari semalam.

"Bagaimanapun, tangannya yang dipatuk ular semakin lebam dan doktor memberitahu mungkin akan dibedah dalam masa terdekat," katanya.

Abu Zarin yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan sudah bertugas lebih 10 tahun sebagai anggota bomba dan pernah berkhidmat di BBP Muadzam Shah, Pekan dan kini di Temerloh.

Beliau mengetuai Skuad King Cobra Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang yang ditubuhkan sejak hujung 2015 sebagai tenaga pengajar bagi melatih anggota pasukan untuk menangkap haiwan berbisa selain mengadakan ceramah dan taklimat kepada orang ramai.

Abu Zarin sudah beberapa kali dipatuk ular termasuk ular senduk dan ular sawa, malah pernah koma dua hari dan hampir meragut nyawanya apabila dipatuk ular tedung pada 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 8:01 PM