FOTO hiasan
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@nstp.com.my


TUJUH anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) ditahan selepas dipercayai meminta dan menerima rasuah daripada seorang pengusaha kafe siber tanpa lesen di Klang.

Semua lelaki berusia 31 hingga 42 tahun itu ditahan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Klang pada 1.45 tengah hari ini.

Sumber berkata, dalam kejadian pada 21 Oktober tahun lalu, anggota penguat kuasa MPK membuat pemeriksaan lesen terhadap premis yang tidak mempunyai lesen hiburan itu.

“Namun, anggota penguat kuasa itu meminta dan mengambil wang sebanyak RM1,000 daripada pengusaha premis supaya tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang,” katanya.

Katanya, seorang daripada mereka bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas dirakam percakapan, hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan, berkata pihaknya sedang dalam proses merakam percakapan semua suspek bagi membantu siasatan.

“Mereka dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Klang esok bagi SPRM mendapatkan permohonan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 7:57 PM