KESAN kecederaan pada Chempaka Sari yang terjatuh ke dalam longkang (gambar kanan) di Slim River, semalam. FOTO Ihsan Pembaca
Rosman Shamsudin
cnews@nstp.com.my


SEORANG bapa cemas apabila mendapati kanak-kanak yang terjatuh ke dalam longkang di hadapan Sekolah Agama Rakyat (SAR) Slim River, semalam adalah anaknya sendiri.

Dalam kejadian 5.50 petang, mangsa Chempaka Sari Nor Alysa, 8, cedera di kepala, kiri muka, tangan dan beberapa bahagian badan lain akibat terjatuh ke dalam longkang sedalam kira-kira dua meter.

Ketika kejadian, mangsa sedang berjalan ke kereta bapanya yang diparkir berhampiran kawasan longkang itu selepas tamat waktu persekolahan.

Kanak-kanak itu kemudian dikejarkan ke Hospital Slim River untuk mendapatkan rawatan, dan hanya dibenarkan pulang pada 12 tengah malam tadi.

Bapanya Kamarul Sapiee Mohammad, 39, berkata ketika kejadian dia menunggu anaknya di dalam kereta sebelum terdengar suara orang menjerit meminta tolong.

“Saya terus keluar dari kereta sebelum melihat ada seorang murid di dalam longkang itu yang rupa-rupanya anak saya sendiri.

“Akibat itu, saya masuk ke dalam longkang berbau busuk dan memeriksa keadaan anak sebelum membawanya keluar.

“Saya bersyukur kerana anak saya terselamat dan beg sekolah yang digalas menjadi penghalang daripada terperosok ke dasar longkang," katanya ketika ditemui, hari ini.

Katanya, anaknya masih trauma dengan kejadian dan berharap dijadikan iktibar kepada murid lain selain meminta pihak bekenaan menutup longkang di hadapan sekolah itu kerana membahayakan murid.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 7:49 PM