Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


“SAYA dengar bunyi dentuman kuat dan terkejut melihat serpihan batu menghempap sebuah kereta di parkir berhadapan gerai," kata Rasik Sameem Syed Ibrahim, 33, menceritakan detik cemas serpihan batu daripada bumbung rumah kedai yang runtuh di Lebuh Penang, Georgetown, tengah hari ini.

Dia yang bekerja sebagai pembantu gerai di warung berhampiran berkata, ketika itu orang ramai sudah berlari keluar daripada bangunan terbabit kerana bimbang perkara lebih buruk berlaku.

“Kejadian berlaku begitu pantas namun saya bersyukur kerana tiada sesiapa mengalami kecederaan," katanya.

Dalam kejadian 1 tengah hari itu, dua kereta dihempap serpihan batu bumbung dengan sebuah daripadanya iaitu Perodua Kancil pecah cermin hadapan serta bahagian pemandu selain bumbung kemek manakala sebuah lagi hanya mengalami kerosakan kecil.

Pelancong wanita warga Belanda, Joose Behouden, 72, berkata, ketika kejadian dia bersama suami berjalan berhampiran bangunan terbabit untuk melihat keindahan kawasan sekitar.

“Saya bersama suami bersiar-siar untuk melihat bangunan warisan di kawasan ini, namun terkejut apabila mendengar bunyi kuat disusuli runtuhan batu daripada bumbung.

“Mujur kami dan orang lain yang melalui jalan berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai Penguasa Bomba Kanan Saiful Bahari Abdul Kadir berkata, pihaknya menerima panggilan 1.37 tengah hari dan bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba pihaknya mendapati dua kereta dihempap serpihan batu, namun kejadian itu tidak membabitkan sebarang kecederaan terhadap orang ramai.

“Ketika kejadian, ada beberapa pekerja dalam rumah kedai yang dijadikan sebagai pejabat itu, namun mereka berlari keluar sejurus runtuhan terbabit.

“Setakat ini, kami masih menyiasat punca kejadian... kerja pembersihan sedang dijalankan dan premis ini masih selamat untuk diduduki kerana hanya mengalami kerosakan kecil di bumbung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 5:36 PM
ANGGOTA bomba memeriksa lokasi kejadian serpihan batu daripada bumbung rumah kedai yang runtuh dan menghempap kereta di Jalan Penang, Georgetown, tengah hari ini. FOTO Mikail Ong