SYABU yang dirampas daripada dua lelaki dan seorang wanita dalam serbuan di Kampung Kayan, Long Lama, Marudi, semalam. FOTO ihsan polis
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@nstp.com.my


PENIAGA kedai runcit sanggup meneruskan kegiatan pengedaran dadah ditinggalkan suaminya yang kini merengkuk dalam penjara hanya kerana gelap mata untuk memperoleh pendapatan tinggi hasil daripada 'perniagaan' haram itu.

Wanita berusia 30 tahun itu menjadikan kedai runcitnya di Kampung Kayan, Long Lama, Marudi, sebagai lokasi untuk penagih di daerah ini mendapatkan bekalan syabu sejak lebih sebulan lalu selepas suaminya ditahan polis di kawasan sama, Januari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak Superintendan Sahar Abdul Latif berkata, hasil risikan mendapati suspek bersama dua lelaki berusia 43 tahun menjalankan kegiatan pengedaran dadah di kawasan berkenaan sejak awal bulan lalu.

Beliau berkata, wanita terbabit meneruskan aktiviti haram itu kerana pulangan diperoleh lebih tinggi memandangkan harga syabu di kawasan terpencil boleh meningkat sehingga 30 peratus daripada harga pasaran.

“Berikutan itu, sepasukan pegawai dan anggota JSJN negeri menyerbu rumah tidak bernombor di Kampung Kayan 3.30 petang semalam dan menahan ketiga-tiga suspek berkenaan selain menemui satu bekas makanan mempunyai 30 tiub serbuk kristal dipercayai syabu bernilai RM9,000 di dalam bilik.

"Bekalan dadah berkenaan yang sudah siap dibungkus itu dipercayai akan dijual kepada penagih di Marudi dan kawasan berhampiran dengan harga boleh mencecah RM250 untuk satu gram," katanya.

Sahar berkata, hasil ujian air kencing terhadap ketiga-tiga suspek disahkan positif methapetamin dan mereka kini ditahan di lokap Balai Polis Sentral Miri untuk siasatan lanjut.

Katanya, polis percaya suspek memperoleh bekalan dadah daripada pengedar lain di Miri, namun siasatan lanjut bagi mengesan rangkaian pengedaran itu sedang giat dijalankan.

"Semua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 3:35 PM