JENAZAH Che Mohd Zulzianie dibawa ke hospital selepas ditemui meninggal dunia akibat sawan di rumah sewanya di Taman Pinggiran Bayu, Mantin, Nilai. FOTO ihsan pembaca
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my


PANGGILAN telefon bimbit dibuat rakan setugas tidak berjawab membawa kepada penemuan mayat seorang anggota polis di rumah sewanya di Taman Pinggiran Bayu, Mantin, Nilai, petang semalam.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Noor Azam Jamaluddin berkata, Koperal Che Mohd Zulzianie Che Abd Rahim, 32, dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai ditemui meninggal dunia akibat menghidap sawan kronik, 6.45 petang.

Katanya, beberapa rakan sepasukan menghubunginya 4.30 petang berikutan arwah sepatutnya hadir perlawanan bola sepak mewakili kelab sukan IPD terbabit.

"Curiga panggilan telefon tidak berjawab, rakan setugas memberitahu adik lelaki arwah yang tinggal di Sepang, Selangor supaya memeriksa di rumah.

"Adik arwah yang tiba di rumah terpaksa memecahkan pintu sebelum menemui abangnya terbaring dalam sebuah bilik.

“Polis dan pasukan perubatan yang tiba kemudian mengesahkan anggota berkenaan sudah meninggal dunia," katanya.

Beliau berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan jenazah dibawa pulang ke Kelantan untuk dikebumikan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 2:58 PM