Muhammad Yusri Muzamir
yusri.muzamir@nstp.com.my

POLIS menahan seorang eksekutif jualan di sebuah rumah di Jalan Besar Telok Air Tawar, di Butterworth, petang tadi kerana disyaki melakukan pecah amanah membabitkan jualan kad prabayar bernilai RM97,116.40.

Dalam operasi pada jam 4.30 petang itu, suspek berusia 36 tahun ditahan kerana gagal memulangkan sejumlah 13,004 keping kad pra bayar kepada sebuah syarikat pengedar di Selangor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Asisten Komisioner Abdul Ghani Ahmad berkata, suspek dipercayai melakukan jenayah pecah amanah apabila menggunakan semua stok kad prabayar milik syarikat terbabit bagi kegunaan sendiri.

"Suspek berkhidmat di bawah syarikat terbabit sejak 2009 dan ditugaskan membuat jualan kad prabayar kepada peniaga di kawasan Bagan, Kepala Batas dan Tasek Gelugor.

"Pada Februari 2015, pihak syarikat yang mengesan berlaku lebihan stok dan mengarahkan suspek memulangkan semua kad pra bayar terbabit, namun dia gagal berbuat demikian," katanya dalam kenyataan , malam ini.

Abdul Ghani berkata, suspek dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth pagi esok, atas tuduhan pecah amanah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Mac 2018 @ 11:55 PM