GAMBAR hiasan
Norrasyidah Arshad
norrasyidah@bh.com.my

PENGAWAL pengawal keselamatan maut selepas kereta dipandunya terbabas dan bergesel dengan lori milik syarikat kontraktor yang sedang meroboh Plaza Tol Sungai Rasau, malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, Faisal Nor Azlan, 31, yang bekerja di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz, Shah Alam, disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan tangan.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Asisten Superintendan, Muhammad Irwani Nooruldin berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira 1 kilometer dari plaza tol yang sudah tidak beroperasi Lebuhraya Persekutuan itu menghala Kuala Lumpur.

Katanya, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan ke Shah Alam dari arah Klang.

"Setibanya di lokasi, mangsa yang dipercayai memandu laju terlanggar bahagian sisi belakang lori yang ketika itu sedang menjalankan kerja pemasangan papan tanda.

"Akibat pergeseran itu, kereta mangsa berpusing sehingga ke lorong paling kiri lebuh raya berkenaan," katanya kepada NSTP, di Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa yang tersepit pada bahagian pemandu berjaya dikeluarkan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

"Pemandu lori berusia 38 tahun turut mengalami kecederaan pada bahagian kepala akibat kemalangan itu," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2018 @ 8:06 PM