ABDUL Shokor (kanan) bersama isterinya, Zalina menunjukkan gambar dan laporan polis tentang Muhammad Ridzuan yang dipercayai hilang pada 15 Februari lalu.
Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Sejak anak istimewa kami hilang, saya dan isteri tidak dapat tidur dan tiada selera makan sebab bimbang memikirkan keadaannya macam mana,” demikian kata Abdul Shokor Abd Talib, 45, bapa kepada remaja orang kurang upaya (OKU) yang hilang sejak Khamis lalu.

Menurut penjawat awam itu, mereka sekeluarga buntu selepas anak keduanya Muhammad Ridzuan, 16, yang mengalami masalah pembelajaran hilang tiba-tiba sejak tengah hari Khamis lalu tanpa sebarang khabar berita.

“Walaupun sudah ikhtiar macam-macam termasuk menghebahkan kehilangannya melalui WhatsApp dan Facebook, setakat ini tiada maklumat tepat tentang lokasi sebenar dia di mana.

“Kami juga sudah puas mencari di keliling kawasan perumahan kami dan sekitar Kuala Lumpur, namun sampai sekarang Ridzuan masih tidak ditemui.

“Saya mohon sesiapa nampak anak saya, beritahu kami segera kerana kami tidak mahu sesuatu yang buruk menimpa dirinya,” katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Selangor kelmarin.

Sementara isterinya, Zalina Abu Samah, 43, yang mengalami kecederaan pada lutut akibat kemalangan bulan lalu berkata, sebelum kejadian Ridzuan tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik.

Orang ramai yang mengetahui lokasi anak pasangan itu boleh menghubungi mereka di talian 018-9722787.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 7:35 AM