Mohd Abdul mengurut tangan Abdullah yang terlantar akibat angin ahmar sejak dua tahun lalu.
Hazira Ahmad Zaidi
news@nstp.com.my

Kota Bharu: “Empat tahun lalu saya tidak berkesempatan menjaga arwah ibu ketika dia terlantar selepas diserang angin ahmar. Kali ini, saya nekad berhenti kerja demi menjaga ayah yang sakit,” kata Mohd Abdul Bilal Abdullah.

Mohd Abdul Bilal, 28, berkata, bapanya, Abdullah Hussin, 72, diserang angin ahmar dua tahun lalu dan kini hanya bergantung pada dirinya untuk melakukan urusan seharian kerana dia satu-satunya anak lelaki tunggal dalam keluarga.

Anak kelima daripada enam beradik itu yang sebelum ini bekerja di Kuala Lumpur selama tiga tahun, mengambil keputusan pulang ke kampung halaman dan bekerja sebagai pemandu jentera berat dengan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).

“Bagaimanapun, pada Jun 2016, saya nekad mengambil keputusan berhenti kerja dengan KADA kerana mahu memberi perhatian dan menjaga ayah yang lumpuh sebelah kiri badan selepas diserang angin ahmar.

“Sejak itu, saya yang menguruskan segala keperluan ayah termasuk memberi makan dan memandikannya. Ada kalanya kakak (Azlin, 37) yang tinggal bersama turut membantu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pendek, di sini, semalam.

Mohd Abdul Bilal berkata, selepas berhenti kerja, dia hilang sumber pendapatan dan tidak pernah menyesal atau mengeluh dengan keputusan sebelum ini.

“Perbelanjaan bulanan untuk membeli susu dan lampin pakai buang bergantung kepada wang pencen ayah RM800 selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM300 sebulan.

“Alhamdulillah, bantuan bulanan diperoleh cukup untuk membeli barang keperluan ayah RM400 sebulan dan selebihnya digunakan untuk perbelanjaan harian,” katanya.

Dia juga seperti lelaki lain mengimpikan mempunyai keluarga bahagia, namun demi memastikan keperluan bapanya terjaga, dia menangguhkan hasratnya itu.

“Pengorbanan yang saya lakukan ini,tidak setanding dengan apa dilakukan ayah dan arwah ibu untuk membesarkan kami adik-beradik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 10:05 AM